IPOH - Keterujaan dua rakan melakukan aktiviti rentas hutan bertukar tragedi apabila seorang daripadanya meninggal dunia setelah mengadu penat sebelum pengsan.

Kejadian mecemaskan ini berlaku kira-kira jam 12.10 pagi di sebuah kawasan berbukit di Jalan Gopeng berhampiran Tong Zen Industrial dekat sini.

Jurucakap bomba memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Chee See Hang, 43, disahkan meninggal dunia sebaik dibawa turun dari bukit tersebut oleh anggota bomba.

Menurut jurucakap tersebut, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.23 pagi.

"Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerah ke lokasi diketuai PBK II Ramli Lot.

"Mangsa bersama rakan dipercayai naik ke atas bukit yang berketinggian 500 meter untuk melakukan aktiviti rentas hutan pada pukul 8 malam,"ujar jurucakap tersebut.

Difahamkan, mangsa bagaimanapun pengsan semasa di atas bukit sebelum rakannya menghubungi Bomba.

Sebaik bomba tiba, keadaan mangsa kelihatan lemah lalu diberikan bantuan alat pernafasan sebelum dibawa turun menggunakan peralatan khas.

"Dia bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh anggota paramedik sebaik tiba di kaki bukit.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 3.10 pagi," jelas jurucakap tersebut.