IPOH - Sebanyak RM1 juta bakal diperuntukkan bagi menaik taraf Pasar Besar Ipoh yang telah beroperasi sejak 36 tahun lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, rancangan naik taraf itu lebih menitikberatkan keselesaan, keselamatan peniaga dan pengunjung Pasar Besar Ipoh.

"Difahamkan antara 830 orang penjaja telah memulakan perniagaan seperti biasa dalam tempoh pasca Covid- 19 ini. 

"Mereka (Peniaga) turut menyatakan beberapa masalah seperti kesesakan ruang niaga yang sempit dan tidak selesa serta kemudahan asas perlu dibaik pulih.

"Sekarang kita hanya menunggu kelulusan peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Sekiranya diluluskan, kerja-kerja naik taraf akan dimulakan secepat mungkin.

"Projek menaik taraf ini tertumpu pada bahagian pasar basah, namun bahagian lain akan dibuat penilaian sekiranya peruntukan mencukupi,"katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas program lawatan rasmi ke Pasar Besar Ipoh di sini, hari ini. Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Dalam perkembangan berkaitan, Nolee turut menyampaikan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kepada tiga orang peniaga baru yang telah memulakan perniagaan di Pasar Besar Ipoh.

"Penerima lesen perniagaan ini terdiri dari golongan belia yang memulakan perniagaan atas usaha mereka sendiri.

"Penglibatan golongan belia dalam perniagaan agro sangat dialu-alukan, memandangkan peluang pekerjaan pada masa sekarang begitu terhad”, ujarnya.