TAPAH - Empat peniaga di sekitar daerah ini dikenakan kompaun setelah gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana melanggar jarak sosial dan berniaga melebihi had waktu yang ditetapkan iaitu selepas jam 12 tengah malam.

Tindakan ini diambil hasil pemantauan yang dilakukan menerusi Operasi Penguatkuasaan Tim Task Force Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah semalam.

Lokasi tumpuan pelanggaran SOP PKPP adalah di sekitar premis perniagaan dalam sektor peruncitan dan pemakanan di sekitar Tapah, Bidor dan Sungkai.

Operasi penguatkuasaan ini diketuai Asisten Superintendan Muhammad Syafiq Shaharizan bersama Inspektor Mohd Farid Azwan Nahar dengan melibatkan kerjasama semua Ketua Polis Balai dan elemen Task Force PKKK IPD Tapah.

Pihak IPD Tapah menerusi hantaran pada laman Facebook memaklumkan, tindakan ini diambil menerusi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Menurut hantaran tersebut, tiga pengusaha kedai makan masing-masing di Kampung Masjid Jalan Sungkai, Bidor, Taman Sungkai dan Kampung Baru Bidor (Timur) dikompaun RM1,000 termasuk atas kesalahan tidak mengamalkan jarak sosial.

Seorang peniaga kedai runcit di Bukit Baldwin pula dikenakan kompaun yang sama.

Selain dikompaun, keempat-empat peniaga turut diberi amaran agar sentiasa mematuhi peraturan dan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepertimana ditetapkan.