MANJUNG - Empat premis di sekitar Pulau Pangkor dekat sini diarah tutup berikutan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa diperiksa Tim Task Force Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemuhihan (PKPP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kelmarin.

Operasi yang selama lapan jam bermula pukul lapan pagi itu turut dilakukan bersama Unit Penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM). 

Hasil pemeriksaan mendapati, empat premis tersebut gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti tidak menyediakan alat pembaca suhu, buku pendaftaran dan hand sanitizer pelanggan yang memasuki premis tersebut.

Kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan (Peraturan 10) PPPPPB 2020 (NO.7).

Premis tersebut telah diarahkan tutup serta merta di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta 342 sehingga pemiliknya mengambil tindakan untuk memenuhi SOP yang ditetapkan.

Dalam tempoh PKPP iaitu mulai 9 Jun lalu, sebanyak 189 premis diarahkan tutup dan 43 pemilik dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar peraturan PKPP di daerah ini.