BIDOR - Satu kebocoran bahan kimia dikesan membabitkan sebuah lori tangki yang membawa bahan cecair pencuci mesin di Kilometer 353 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kebocoran bahan kimia itu pada jam 10 pagi.

Operasi pembersihan dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dengan bantuan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Pasir Puteh.

"Setibanya jentera di lokasi, terdapat kebocoran bahan kimia pada bahagian tangki lori itu, bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan mangsa.

"Lori itu berada di bahu jalan dan kebocoran itu dalam kuantiti kecil tetapi mengeluarkan vapor (wap),” ujar jurucakap terbabit. 

Semasa bomba tiba, sebahagian daripada cecair itu telah dipindahkan ke lori lain oleh pihak syarikat kenderaan tersebut.

Sebagai langkah kawalan, pihak bomba telah melaksanakan semburan buih bagi meneutralkan asid pada tumpahan berkenaan manakala anggota Hazmat bertindak membuat kerja-kerja menabur serbuk soda.

Operasi yang diketuai oleh PPgB Muhammad Ashraf Mat Isa itu tamat pada jam 2.19 petang.