Pengkalan Hulu, 15 Julai – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perak mengagalkan cubaan empat buah lori dipenuhi muatan hasil pertanian ke Malaysia di Pintu Masuk Kompleks ICQS Pengkalan Hulu, Perak kelmarin. 

Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan ke atas empat lori tersebut, mendapati ianya tidak mematuhi syarat sepertimana yang dinyatakan pada permit import MAQIS.

“Hasil pertanian yang berjaya ditahan ialah 450kg durian dan 480kg petai yang kesemuanya bernilai RM2,565. 

“Kegagalan pemandu terbabit mengemukakan maklumat boleh didakwa di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama”, katanya pada dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MAQIS. 

Menurut Rozita, pihak MAQIS sentiasa memastikan antaranya tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah-tanih dan mikroorganisma yang masuk ke Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar. 

“Kita juga memastikan sumber pertanian yang dibawa tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan”, ujarnya.