IPOH - Melalui pemantauan Peraktastic sejak jam 8 pagi tadi, lebih 1,000 orang mengunjungi Pasar Karat (Memory Lane) yang telah beroperasi semula, hari ini.

Pengarah Kanan-Perkhidmatan dan Operasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Musa Dun berkata, beberapa perkara lagi harus diperketatkan bagi menjamin keselamatan pengunjung ke pasar popular itu.

"Ada beberapa penambahbaikan akan dilakukan terutamanya dari segi penyusunan khemah dan lain-lain lagi bagi melancarkan aktiviti perniagaan dan kunjungan orang ramai pada masa akan datang.

"Saya memahami orang ramai masih lagi berwaspada dengan wabak Covid-19. Oleh itu kita akan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan dan dipatuhi dengan baik bagi menyakinkan mereka dalam keadaan selamat.

"Kita menyediakan hanya satu pintu masuk dan satu pintu keluar untuk pengunjung (kaedah one way) ke kawasan Memory Lane. Ini bagi memastikan aliran pengerakan pengunjung adalah sehala dan tidak boleh berpatah balik," katanya selepas mengadakan Lawatan Pemantauan Pematuhan SOP di Memory Lane (Jalan Horley), Ipoh, disini, hari ini.

Lawatan ini turut disertai oleh Pengarah Pelesenan & Penguatkuasaan MBI, Pengarah Kesihatan MBI, anggota Unit Penguatkuasa, Unit Penjaja MBI serta anggota dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Negeri Perak.

Dua hari lalu (Majlis Bandaraya Ipoh ) MBI mengumumkan pembukaan semula Memory Lane hanya melibatkan Jalan Horley, sementara Jalan Lim Boh Seng masih tidak dibenarkan beroperasi.

Pembukaan pada 19 Julai ini hanya melibatkan peniaga-peniaga yang mempunyai lesen bernombor ganjil.

Manakala pelesen bernombor genap akan memulakan operasi pada minggu hadapan iaitu secara berselang seli.