IPOH - Peniaga Kecil dan Sedarhana (PKS) disaran memohon Geran Usahawan Perak (GeRUP) untuk pembiayaan perniagaan semula. 

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Penguna Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, permohonan GeRUP terbuka sebelum 31 Julai ini dan keutamaan diberikan kepada usahawan micro sebagai inisiatif membantu PKS dengan jumlah RM1 juta.

"Sebanyak RM3,000 akan diluluskan khas melalui geran berbentuk “one-off” yang bakal disalurkan melalui SME Corp. Malaysia kepada pemohon yang layak.  

"Bantuan ini dikhaskan kepada usahawan mikro dengan jumlah jualan tahunan kurang daripada RM300,000 setahun atau jumlah pekerja kurang dari lima orang", katanya pada Majlis Pelancaran GeRUP di Pusat Pembangunan Usahawan (PPU), Ipoh, semalam. 

Turut hadir, Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia, Noor Azmi Mat Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim.  

Sementara itu, Saarani berkata, Kerajaan Negeri melantik 24 agensi pembimbing untuk membantu usahawan mengisi borang permohonan secara online terutama pemohon luar bandar dan warga emas.  

"Permohonan ini dibuka secara online adalah bagi memastikan kelulusan dapat dibuat dalam masa yang singkat dan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada usahawan yang memerlukan", katanya.  

Permohonan geran ini boleh dipohon melalui https://gerup.smecorp.gov.my bermula hari ini hingga 31 Julai 2020.