IPOH – Satu pelan pembangunan yang mampan mengambil kira pelbagai aspek khususnya kelestarian dan berdaya huni perlu dirancang bagi memastikan bandaraya Ipoh membangun selaras dengan kehendak masa hadapan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini kerana Rancangan Tempatan Ipoh 2020 yang akan tamat tidak lama lagi perlu diganti untuk menyusun semula hala tuju pembangunan tersebut.

Beliau berkata, pelan itu nanti hendaklah selaras dengan pelbagai agenda pembangunan terbaharu seperti Sustainable Development Goals, New Urban Agenda dan Draf Pembangunan Negeri Perak 2040.

“Sebab itu kita perlu membincangkan perkara tersebut menerusi pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Ia termasuklah isu-isu, masalah dan cadangan awal pembangunan bagi aspek-aspek berkaitan dengan kawasan kajian rancangan tempatan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Townhall Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Ipoh (RTMBI) 2023 di Stadium Indera Mulia di sini pagi tadi.

Sesi berkenaan disertai seramai 250 peserta yang terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.

Program sehari anjuran Majlis Bandaraya Ipoh ini melibatkan sesi perbincangan tiga kumpulan pemikir.

Antara perkara yang dibincangkan ialah imej Ipoh sebagai bandaraya warisan dan bertaraf dunia; bandar pelancongan pintar dan berdaya huni serta menjadikan Ipoh bersih, indah dan selesa.