SLIM RIVER - Hasrat Kerajaan Negeri membantu warga kerja Hospital Slim River mendalami serta memahami isi kandungan Al-Quran kini menjadi kenyataan dengan tertubuhnya Rumah Ngaji.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penubuhan rumah Ngaji itu bertepatan dalam usaha pemantapan kekuatan rohani para petugas kesihatan yang beragama Islam.

“Peperangan yang berlarutan melawan pandemik Covid-19 ini sememangnya meletihkan semua pihak terutamanya kepada pasukan perubatan. Ia bukan sahaja memerlukan ketahanan fizikal, tetapi juga kekuatan spiritual.

“Dengan adanya rumah ngaji ini akan memberi peluang kepada petugas beragama Islam melapangkan masa seketika untuk mendalami Al-Quran sebagai santapan rohani. 

“Agama Islam menuntut agar umatnya memperbanyakan membaca Al-Quran. Mengamalkan ajaran Al-Quran yang sebenar, kita mampu membentuk modal insan cemerlang dalam menjalankan tugasan dan memiliki kualiti akhlak yang terpuji”, katanya selepas Majlis Perasmian Rumah Ngaji di hospital Slim River, semalam.

Hadir sama Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin; Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim; Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Dr Ir Safry Kamal Ahmad; Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris dan Dr S Sivanandarajah

Menurut Faizal, penubuhan rumah ngaji ini telah mendapat sokongan penuh dari Pengarah Hospital Slim River, Dr Sivanandarajah. 

“Kita sangat menghargai dan berterima kasih diatasa sikap keterbukaan dan toleransi beliau terhadapat inisiatif yang murni ini. 

“Semoga rumah ngaji ini terus subur menjadi sebuah Hospital Mesra Ibadah selaras dengan visi penubuhannya iaitu mewujudkan masyarakat yang baca, faham dan amal Al-Quran,” katanya.