Ipoh - Mahkamah Majistret Ipoh semalam menjatuhkan hukuman ke atas Rosli Mohd Ali, 56, seorang pekerja am, di atas kesalahan membuat penyataan palsu di bawah Seksyen 93(a) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Tertuduh telah melakukan kesalahan membuat tuntutan kemalangan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Mac 2015. PERKESO telah membuat bayaran sebanyak RM41,158.39 kepada tertuduh di atas tuntutan palsu tersebut.

Seramai 10 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung. Tertuduh disabitkan kesalahan oleh Majistret Puan Siti Hanum Mohamad Sah dan telah dihukum denda sebanyak RM8,000 atau penjara 8 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Barisan pendakwaan PERKESO yang mengendalikan keseluruhan perbicaraan kes itu diketuai oleh Ketua Unit Pendakwaan, Yuzain Yusof bersama-sama dengan Pegawai Pendakwa, Khalimi Jamian dan Mohd Farin Shamsuddin.

Turut hadir mendengar keputusan itu Pengarah PERKESO Negeri Perak,  Anthony Arul Dass.

PERKESO sebagai organisasi yang mentadbir dana keselamatan sosial pencarum tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan perbuatan atau kesalahan yang sama.

Berdasarkan statistik pendakwaan PERKESO Negeri Perak sepanjang tempoh 2019, terdapat 75 kes telah dibawa ke mahkamah. Sehingga Ogos tahun ini sebanyak 112 kes pendakwaan telah difailkan, merujuk kepada  pelbagai kesalahan akta di bawah PERKESO.