IPOH – Kehadiran 18 perwakilan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gopeng pada Persidangan Perwakilan Bahagian Gopeng Kali Pertama semalam, menunjukkan kemuafakatan antara ketua bahagian tetap utuh terjalin.

Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak membidas kenyataan Ketua Cawangan Bersatu Kampung Sengat, Abdul Rahim Hassan bahawa terdapat buah lima cawangan di bahagian Gopeng keluar parti disebabkan telah hilang kepercayaan kepada pucuk kepimpinan parti.

"Kenyataan beliau melalui media baru-baru ini, membabitkan lima ketua cawangan keluar parti sekali gus menyebabkan kesemua cawangan itu terbubar disifatkan sebagai satu pengkianatan.

"Di sini saya ingin tegaskan, Parti Pribumi Bersatu Bahagian Gopeng masih kukuh dan tidak terjejas walaupun terdapat beberapa ahlinya bertindak keluar parti.

" Beliau yang mengumumkan keluar parti hanyalah melibatkan beberapa individu dan bukan keseluruhan Bahagian Bersatu Gopeng," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Bahagian Gopeng di Hotel Seri Malaysia semalam.

Menurutnya, cawangan yang didakwa terbubar ialah Desa Pelancongan, Kampung Sengat, Pekan Razaki, Gunung Rapat Utara dan Desa Pakatan.

“Keputusan bekas ahli yang keluar parti itu biarkanlah sahaja. Namun dakwaan kononnya Bahagian Bersatu Gopeng pincang adalah tindakan yang berunsur finah dan tidak baik.

“Bersatu Bahagian Gopeng tetap menyokong kepimpinan peringkat negeri dan pusat yang diterajui oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami tetap bersatu dan berpegang teguh kepada prinsip asal perjuangan parti,” tegasnya.