IPOH- Dua orang anak jati Perak bakal mencatatkan nama sebagai wanita pertama berkayak secara solo.

Dua orang wanita yang akan mencatatkan nama di dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) ialah Nur Adilla Abu Hassan, 38, akan berkayak dari Tasik Banding ke Beting Beras Basah, Bagan Datuk sejauh 350 kilometer (km) manakala Saidatul Atiqa Md. Isa, 31, akan mengelilingi Danau Toba, Sumatra, Indonesia sejauh 200km.

Nur Adilla berkhidmat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak sementara Saidatul Atiga, petugas di Bahagian Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Kedua-dua mereka ini sedang giat menjalani latihan dengan bimbingan pendayung kayak solo negara, Murad Mohd. Kassim.

Menurut Murad, misi berkayak solo itu dijangka memakan 40 hingga 43 hari.

"Kedua-dua mereka sedang menjalani fasa akhir latihan mengelilingi Pulau Pangkor bagi membiasakan diri dengan keadaan laut, pasang surut air laut, arah gelombang ombak, survival dan dayungan kecemasan waktu malam," katanya yang hadir dalam pertemuan khas bersama Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin semalam.

Saidatul Atiqa daripada Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia berharap misi itu lancar.  

"Kami berharap misi kami berjalan dengan lancar dan pulang dengan kejayaan untuk negara khasnya rakyat negeri Perak," ujarnya.