IPOH- Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad faizal Azumu menyeru semua guru menjadi inspirasi kepada setiap pelajar bagi melahirkan generasi yang berkeperibadian tinggi, berdispilin dan kalis kepada pengaruh-pengaruh negatif.

Menurut beliau sistem pendidikan yang terancang dan selari dengan perkembangan pesat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dapat memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dicapai dengan sempurna.

“Para guru memikul amanah besar dalam memastikan pendidikan yang sempurna kepada murid-murid, khususnya melibatkan ‘generasi alpha’ yang terdedah dengan kecanggihan ICT melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar. 

“Pendedahan terhadap ICT, pastinya menuntut perubahan dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan semasa semakin mencabar dan memerlukan perubahan. Para pendidik khususnya guru-guru perlu bersedia untuk menerima perubahan selaras dengan kemajuan teknologi semasa”, katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan Konvensyen dan Persidangan Majlis Guru Besar Negeri Perak Kali Ke-33, Tahun 2020 di hotel Impiana semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak merangkap Penaung Majlis Guru Besar Negeri Perak, Dr. Mohd Suhaimi Mohamed Ali antara tetamu yang hadir meraikan lebih 200 orang guru besar dari seluruh negeri Perak.  

Ahmad Faizal juga turut mengucapkan tahniah kepada semua guru yang sentiasa berusaha memastikan murid-murid tidak ketinggalan dan terus belajar walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP). 

“Semangat para pendidik yang tidak pernah berputus asa dalam menjalankan tanggungjawab mengajar anak-anak murid sama ada secara atas talian atau sebagainya adalah sangat-sangat dihargai. 

“Tahniah dan syabas juga kepada semua guru-guru di negeri Perak di atas keprihatinan terhadap tahap keselamatan dan kesihatan murid-murid di sekolah. Pematuhan SOP adalah di tahap terbaik dan diharapkan ianya terus menjadi amalan norma baharu bagi menjamin kesejahteraan bersama,” ujarnya.