GOPENG – Dua mangsa yang merupakan pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Wira cedera parah setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tiga tan di Kilometer (KM) 305.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian tersebut, kereta dinaiki lelaki dan wanita itu melanggar belakang lori berkenaan menyebabkan kedua-duanya tersepit pada tempat duduk masing-masing.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, PBK II Rozimi Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.03 pagi sebelum menghantar dua buah jentera bersama anggota ke tempat kejadian.

Menurut beliau, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati bahagian hadapan kereta Proton Wira itu terperosok ke bawah lori menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.

“Kita telah bertindak untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas, manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Operasi tamat pada pukul 12.34 pagi.