IPOH- Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar seluruh rakyat bersatu hati dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID19 dengan mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan khususnya yang berfahaman politik.

“Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan berpandangan DYMM Seri Paduka Baginda telah mengambil kira keperluan rakyat serta mengutamakan kepentingan semua pihak.

“Baginda mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

“Patik sekalian juga menjunjung titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenaan pentingnya mengimbangi usaha membendung penularan pandemik Covid-19 dengan langkah-langkah untuk mengelakkan darurat ekonomi yang sukar dipulihkan”, katanya melalui usulnya di Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Yang Keempat Belas, Perak, di sini, hari ini.