IPOH- Salah seorang kakitangan Pejabat Menteri Besar Perak telah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan kesihatan.

Sebagai langkah keselamatan, Pejabat Menteri Besar diarahkan tutup dan proses sanitasi telah dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut satu kenyataan media dari Pejabat Menteri Besar, Perak hari ini, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah menjalankan saringan kontak rapat kakitangan tersebut.

Pegawai dan kakitangan pejabat Menteri Besar telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah serta memantau tahap kesihatan masing-masing sehingga arahan selanjutnya dari pihak JKN.

Untuk makluman, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu tidak berada di pejabat dalam tempoh ini kerana sedang menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun di atas faktor keselamatan, Ahmad Faizal telah menjalani ujian saringan kesihatan semalam dan keputusan disahkan negatif Covid-19.