IPOH- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap kestabilan pemerintahan negeri Perak akan terus terjamin serta dapat mempertahankan keharmonian rakyat dari bertelagah sesama sendiri. 

Beliau berkata sedemikian selepas ditanya berhubung keputusan undian usul percaya yang tidak menyebelahinya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. 

“Saya sentiasa akan berkerjasama kepada sesiapa yang akan dilantik oleh DYMM Paduka Seri Sultan Sultan Perak. Ini adalah kerana kita mahukan transisi pentadbiran berjalan kerajaan negeri perak berjalan dengan lancar dan bukannya memikirkan kepentigan politik. 

“Kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, kita tidak berhasrat untuk memanjang masalah politik ini daripada berterusan. Bagai saya kepentingan dan keselamatan rakyat mestilah diutamakan. 

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakan seperjuangan di dalam Pakatan Harapan (PH) yang bersama saya di dalam kerajaan sebelum ini. Begitu juga ahli-ahli Exco kerajaan Perak sekarang yang memberi kerjasama yang baik serta membantu saya dalam banyak hal”, katanya. 

Terkini Ahmad Faizal dilaporkan akan mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah petang ini. Menurut sumber Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid juga akan menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh. 

Sebelum undi percaya terhadap Menteri Besar Perak itu dibuat secara belah bahagi yang menyaksikan 10 undi menyokong, 48 undi menolak manakala satu undi rosak. 

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim dan dibenarkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid untuk dibentang serta dibahaskan.