IPOH- Ipoh International Convention Centre (IICC) kini menjadi satu lagi mercu tanda baharu bagi bandaraya Ipoh.

Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad berkata kewujudan IICC di bandaraya Ipoh sebagai sebuah pusat konvensyen bertaraf antarabangsa bakal menyerikan semula bandaraya Ipoh semenjak penularan wabak Covid-19 yang melemahkan sektor ekonomi dunia.

“Dengan wujudnya mercu tanda baru ini akan membuka peluang yang bukan sahaja kepada penduduk negara malah kepada negara luar untuk datang ke Ipoh bagi mengadakan konvensyen yang bertaraf antarabangsa.

“Saya mengucapkan setinggi tahniah dan berharap dengan adanya kepakaran yang sedia ada maka ianya mampu diuruskan dengan baik untuk memulihkan kembali kenyakinan semua pihak untuk mengadakan sebarang urusan rasmi di bandaraya Ipoh”, katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Kolaborasi Antara MBI, Bond Holdings Sdn. Bhd & Sycal Berhad di dewan utama IICC di sini, semalam.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata kerjasama di antara kedua syarikat besar ini, impian melialisasikan konsep visi bandar ke tahap tertinggi kini terlaksana.

“Kita berharap dengan adanya IICC ini ianya akan menjadi pusat pemacu ekonomi seterusnya menerajui urus tadbir bandar secara strategik dan inovatif ke arah bandaraya yang kondusif dan mampan untuk kesejahteraan warga kota.

“Tujuan utama kolaborasi ini adalah untuk menjayakan pengurusan IICC yang keluasan 28,0000 kaki persegi. Ianya merangkumi dewan bankuet untuk kegunaan pelbagai acara rasmi dan aktiviti.

“Bond Holdings Sdn.Bhd akan menguruskan Bond Suites yang menawarkan pelbagai kemudahan. Ianya terletak bersebelahan IICC dengan menyediakan kemudahan “Co-Working Space serta dilengkapi dengan sambungan internet yang pantas””, ujarnya.