IPOH- 28 Dec: Selepas kejayaan Kempen Menanam 26 Juta Pokok di seluruh negeri Perak sepanjang 2010 hingga 2014 negeri Perak, kini kerajaan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia (PPM) melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara. 

Menteri Besar Perak, Dato' Saarani Mohamad berkata PPM merupakan usaha memelihara dan melindungi khazanah hutan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bertemakan "Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita" atau "Greening Malaysia: Our Tree, Our Life".

“Agenda Penghijauan Malaysia ini diteruskan dengan harapan ia mampu mengurangkan impak pemanasan global yang sedang melanda seluruh dunia”, katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Rakaman Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya, di sini ahri ini.

Selain Malaysia, agenda penghijauan ini juga telah digerakkan di seluruh dunia di mana Australia telah melancarkan kempen One Billion Trees Programme, Kanada dengan '50 Million Tree Program', India dengan program 220 Milion Tree Planting in One Day, New Zealand dengan 'One Billion Trees Programme' dan pelbagai lagi inisiatif yang telah digerakkan bagi menangani isu pemanasan golbal.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi tempoh 2021 hingga 2025 bertujuan mengekalkan kawasan hijau di seluruh negara selain pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan.

Menurut Dato; Saarani selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta ianya dapat memupuk semangat cintakan alam semula.

“Pihak kerajaan cuba mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai.

“Kita juga menggalakkan penyertaan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, syarikat swasta dan badan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-insitusi pendidikan mahupun penyelidikan dan orang awam dalam usaha penanaman pokok.

Majlis pelancaran Agenda Penghijauan Malaysia (Greening of Malaysia Agenda) Peringkat Kebangsaan dijangka akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 5 Januari 2021 di Taman Rimba Alam, Putrajaya.