IPOH- Kesan daripada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 8.69% dan peningkatan “Carbon Sequestrations” sebanyak 0.57%, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menerima pengiktirafan ‘Diamond Rating’.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin berkata pengiktifaran yang diberi oleh Low Carbon Cities Steering Committee pada 25 Januari 2021 yang dipengerusikan oleh  Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyuntik semangat untuk terus mencapai visi Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C).

“GreenTech Malaysia (MGTC) yang kini dibawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melaksanakan program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) sejak tahun 2011.

“Sebanyak 52 daripada 154 buah (Pihak Berkuasa Tempatan) PBT telah memulakan inisiatif bandar karbon rendah dan MBI telah terlibat dalam program Rangkakerja Bandar Rendah Karbon ini pada 17 September 2015.

“Kita juga menerima kunjungan hormat daripada Kementerian Tenaga, Teknoloji Hijau & Air (Kettha) dan MGTC. MBI telah melaksanakan pengukuran “Baseline” dan telah berjaya memperolehi “Provisional Certificate” daripada MGTC pada 28 Mac 2017”, katanya dalam teks ucapan sempena Mesyuarat Penuh Majlis bagi bulan Januari, disini, semalam.

LCC2030C merupakan inisiatif baharu mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar karbon rendah. Bagi memastikan program ini memenuhi objektifnya, MGTC menjalinkan kerjasama dengan PBT untuk mewujudkan zon rendah karbon di setiap ibu negeri dan  kawasan bandar utama di seluruh negara.

Zon-zon rendah karbon memfokuskan pengurangan penggunaan tenaga dan air dari bangunan dan kawasan umum serta pengurangan emisi daripada penggunaan kenderaan petrol dan diesel. Disamping itu pengurangan pelepasan daripada pembentukan sisa yang terkumpul di tapak pelupusan sampah juga dititik beratkan.

“MBI juga telah meningkatkan “Carbon Sequestrations” daripada Kawasan Hijau dan Badan Air (Greenery and Water Bodies) dimana penilaian pada tahun 2016 adalah 571.08 tCO2/tahun berbanding 572.82 tCO2/tahun pada tahun 2019 dengan jumlah peningkatan penerapan sebanyak 3.24 tCO2 atau 0.57%’, ujarnya.