IPOH, 29 Januari 2021 - Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Perak akan melaksanakan projek e-Tanah iaitu sistem berkomputer bersepadu bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah mulai 15 Februari ini.

Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad berkata, Projek e-Tanah membolehkan pengguna mengemukakan permohonan dan pembayaran cukai tanah secara atas talian.

“Sistem tersebut dilihat sebagai salah satu pendorong penting kepada penggunaan teknologi secara dalam talian sepenuhnya bagi memobalisasi penyampaian perkhidmatan awam secara digital.  

“Pendigitalan perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan terutamanya ketika negara masih dibelenggu pandemik COVID-19. Langkah itu adalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan suatu sistem penyampaian pengurusan tanah yang lebih mudah, komprehensif dan selamat digunakan”, katanya dalam satu kenyataan media selepas beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi sistem e-Tanah antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak dan syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd yang diadakan secara maya hari ini.

Menurutnya wujudnya sistem e-Tanah, transaksi permohonan dan pembayaran akan dilakukan secara wireless, paperless dan cashless. Keperluan urusan secara digital bukan sahaja penting kepada pejabat tanah tetapi juga kepada orang awam yang lebih selesa membuat transaksi secara dalam talian tanpa perlu ke kaunter kerajaan.

“Projek e- Tanah ini merupakan satu langkah untuk mengadaptasi norma baharu dalam perkhidmatan awam melalui penyampaian sistem kerajaan secara online dengan menggalakkan pembayaran secara cashless, mengurangkan pergerakan bersemuka di kaunter serta dapat mengurangkan ketirisan hasil”,  tambahnya.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim manakala Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah mewakili kerajaan Persekutuan manakala Puncak Tegap Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nigel Lee.