IPOH- Isu penggondolan bukit batu kapur akibat industri pengkuarian yang dikatakan mencerobohi kawasan geopark mendapat perhatian dari kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata, aktiviti kuari di Gunung Terundum, Gunung Rapat dan Gunung Lanno telah diwartakan sebagai Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/Batuan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Batu Gajah 2025.

“Ketiga-tiga gunung tersebut tidak termasuk dalam senarai 18 geotapak, Geopark Lembah Kinta dan tidak terletak di dalam kawasan aktiviti pengkuarian di Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/Batuan.

“Sebahagian besar gua-gua yang terletak di ketiga-tiga gunung tersebut berada di atas hakmilik pengusaha kuari. Kebanyakan kuari di negeri Perak adalah dimiliki oleh syarikat persendirian secara pajakan dan telah beroperasi selama lebih kurang 50 tahun.

“Bagaimanapun, industri ini sentiasa dipantau oleh agensi yang bertanggungjawab seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG),” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Industri pengkuarian di dalam negeri Perak beroperasi mengikut undang-undang Akta Pembangunan  Mineral 1994; Enakmen Mineral (Perak) 2003 (EMP); Peraturan-Peraturan Mineral (Perak) 2008; Pekeliling Khas Pejabat Tanah dan Galian Bil.3/2017; dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bagi industri pengkuarian, pemilik kuari juga diwajibkan untuk mengemukan laporan kualiti alam sekitar (EIA) apabila hendak menjalankan industri kuari. Kegagalan mana-mana pemilik kuari untuk mematuhi syarat-syarat laporan ini boleh menyebabkan pemilik kuari tersebut dikenakan tindakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sepertimana di bawah seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Sekiranya pemilik kuari gagal mematuhi mana-mana syarat tenemen mineral, pemilik kuari tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sepertimana di bawah seksyen 159 EMP.