IPOH- Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 600 orang calon belia berdaftar untuk mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sesi Dewan 2021/2022.

Menteri Besar , Dato’ Saarani Mohamad berkata Kerajaan Negeri Perak mengalu-alukan seluruh belia dalam negeri untuk menyertai Dewan Belia yang dijangka bersidang pada penggal kedua tahun 2021.  

“Dewan belia menjadi platform penting untuk anak muda melontarkan idealisme bagi membina dan memakmurkan negeri termasuk kepentingan rakyat terutamanya dalam suasana pandemik COVID-19. 

“Persidangan Dewan Belia Perak yang ketiga ini bakal berlangsung menerusi platform atas talian sekiranya persidangan secara fizikal masih tidak dibenarkan susulan pandemik COVID-19”, katanya dalamsidang media secara maya di Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri (SUK), disini, hari ini. 

Hadir sama, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed. 

Tarikh pendaftaran pencalonan perwakilan Dewan Belia akan dibuka bermula 17 Februari sehingga 7 Mac 2021. Bagi pendaftaran pengundi pula, sesi pendaftaran juga akan mula dibuka pada 17 Februari dan akan berakhir pada 20 Mac 2021. 

Proses pencalonan dan pengundian Perwakilan Dewan Belia kali ini akan menggunakan platform atas talian sepenuhnya iaitu laman sesawang www.dewanbelia.perak.my. 

Selain itu Menteri Besar turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria sebagai Speaker Dewan Belia.

Sementara Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin dan Presiden Alumni Dewan Belia Negeri Perak, Muhammad Ariff Zaky Mohd Zolkafly masing-masing dilantik sebagai Timbalan Speaker 1 serta Timbalan Speaker 2.

Saarani berkata pemilihan perwakilan Dewan Belia memberi fokus kepada lapan kumpulan iaitu, belia pengajian tinggi, belia berkerjaya, perkumpulan belia, belia massa, belia Malaysia antarabangsa, belia minoriti dan belia berisiko. 

“Jumlah keseluruhan perwakilan yang akan dipilih bagi mewakili setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah seramai 59 orang supaya setiap kawasan DUN mempunyai wakil daripada golongan belia’, katanya.