IPOH- Seramai 31,676 calon sekolah dan 1,403 calon persendirian menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini, di seluruh Perak.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr. Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata peperiksaan yang bermula 22 Februari hingga 25 Mac 2021 merupakan pertama diadakan sejak pandemik Covid-19 yang menyebabkan peperiksaan SPM ditunda sebanyak dua kali.

“Bagi melaksanakan peperiksaan awam ini, kesihatan dan keselamatan calon termasuk petugas peperiksaan menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kementerian telah mengeluarkan garis panduan khusus sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan di samping memastikan peperiksaan dapat dijalankan dengan selamat dan berjalan lancar.

“Melalui penetapan garis panduan peperiksaan, calon yang didapati positif Covid-19 dan calon yang dikuarantin tidak dibenarkan menduduki peperiksaan. Namun begitu mereka akan mengambil peperiksaan melalui penjadualan semula yang tarikh akan ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)’, katanya dalam teks ucapan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, hari ini.

Sebanyak 327 pusat peperiksaan telah di senaraikan antaranya 293 merupakan pusat sekolah manakala pusat persendirian adalah sebanyak 34 buah.

Menurut Mohd Suhaimi pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP) berkerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri, Pusat Kesihatan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan Pejabat Daerah dan Tanah untuk membantu urusan peperiksaan berjalan dengan lancar dan memastikan keselamatan calon dan petugas dapat dikawal dengan sempurna.

”Saya berharap kepada semua yang terlibat dapat menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan berintegriti di samping memberi perhatian khusus kepada langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ini”, ujarnya.

End//