IPOH – Keputusan sama ada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung ataupun sebaliknya dijangka akan diketahui dalam masa terdekat, tertakluk kepada keputusan Pejabat Peguam Negara

Speaker DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri untuk merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan mendengar pandang dan membuat pertimbangan mengenai perkara itu sebelum mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk tindakan seterusnya.

“Seperti yang kita sedia maklum, Speaker DUN akan berbincang dengan semua pihak daripada semua parti yang ada dalam DUN tidak kira sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Banyak cadangan yang telah diterima, dan salah satu yang sedang dipertimbangkan adalah mengadakan perjumpaan dalam kalangan ahli DUN sekiranya Sidang DUN tidak dapat dilaksanakan oleh sebab-sebab tertentu.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pandangan undang-undang daripada Pejabat Peguam Negara dan Penasihat Undang-undang Negeri ,” katanya yang turut memaklumkan Sidang DUN Perak perlu diadakan selewat-lewatnya Jun ini selepas persidangan akhir yang berlangsung pada Disember tahun lalu.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang dinasihatkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Terdahulu, Mohamad Zahir merasmikan International Women’s Day Seminar 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Penasihat Projek Junior Chamber International (JCI) Ipoh, Dr Carrine Teoh Chooi Shi.