KERIAN – Kejadian kebakaran yang memusnahkan lima kedai sederet di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau di sini pada petang semalam turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang turun ke lokasi meninjau keadaan.

Beliau yang pada itu dalam siri jelajah turun padang Mesra di daerah ini bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang musibah yang berlaku.

Kejadian melibatkan lima deretan kedai iaitu kedai runcit, rumah kedai dan sebuah kedai makan ikan sembilang yang popular di kawasan itu.

Dalam lawatan berkenaan, Saarani berkata, kerajaan negeri akan melihat bantuan sesuai yang boleh disalurkan bagi meringankan beban mangsa.

“Kita dimaklumkan kebanyakan mereka adalah penyewa di sini, bukan pemilik asal. Sungguh pun begitu ia masih melibatkan kerugian yang besar kepada mangsa,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, bomba yang bertindak pantas berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke dua lagi unit kedai bersebelahan.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, seramai 24 pegawai dan anggota dari tiga balai bomba iaitu Kuala Kurau, Parit Buntar dan Bagan Serai dikerah dalam operasi pemadaman itu.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana ketika kejadian semua premis tidak beroperasi.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan operasi ketika ini masih dijalankan bagi memastikan punca api dipadamkan sepenuhnya. Kita turut dibantu enam pasukan bomba sukarela,” katanya.