BAGAN SERAI – Masalah kutipan sampah di kawasan luar bandar bakal diatasi apabila kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM2.2 juta bagi meluaskan operasi kutipan sampah terutama di luar kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Inisiatif tersebut bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan yang terlibat berikutan sering berdepan kesukaran kerana ketiadaan perkhidmatan kutipan sampah.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri mendengar keluhan rakyat lantas mahu jalan penyelesaian diambil untuk mengatasi masalah pengurusan sampah itu dan pada masa sama tidak mahu ia menjejaskan kesihatan penduduk.

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan tersebut bagi menyediakan perkhidmatan kutipan sampah kepada 108 buah kampung secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini.

“Peruntukan ini bagi menampung kos penyediaan tapak kutipan, pembelian tong sampah serta kos perkhidmatan operasi oleh pihak PBT,” katanya.

Terdahulu,  Saarani merasmikan stesen kutipan sampah di Kampung Sungai Semambu dekat sini semalam sebagai simbolik kepada permulaan program kutipan sampah di luar kawasan operasi PBT.

Inisiatif tersebut melibatkan kesemua 15 PBT seluruh negeri Perak.

Jelas Saarani, buat permulaan sebanyak 25 buah kampung akan mendapat perkhidmatan itu pada bulan ini diikuti 83 buah kampung lagi pada April.

“Pada masa hadapan kita akan memperluaskan lagi program kutipan sampah ini khususnya di kampung-kampung yang terletak di luar kawasan operasi PBT,” ujar beliau.