IPOH - Tindakan pemilik sebuah premis di Simpang, Taiping menyimpan 957 tong gas petroleum cecair bernilai tidak ke mana apabila premis itu diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan pada pukul 10 pagi itu dilakukan sepasukan pegawainya berdasarkan maklumat risikan.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah treler membawa muatan silinder gas petroleum cecair di letakkan di hadapan premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik treler disyaki telah memindahkan tong gas LPG itu ke tempat yang tidak dilesenkan.

"Kita bertindak menyita barang-barang itu yang dianggarkan bernilai RM139,594.40 dengan anggaran berat kira-kira 12,576 kilogram gas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara.

Bagi kesalahan berikutnya pula denda tidak melebihi RM3 juta, penjara atau kedua-duanya sekali.