LAMBOR –Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bakal melahirkan usahawan dalam bidang agro-pertanian, penternakan, dan industri makanan berkaitan pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin berkata untuk tahun 2021 disasarkan seramai 400 orang usahawan bakal memanfaatkan 1000 orang ahli keluarga.

“Seramai 52 orang peserta bakal terlibat dalam Projek Pemacu Agrotani (PEMACU-TANI) Nenas MD2 di Gugusan Ladang Lambor dan Perak Agrotourism Resort (PATRO) Sungai Galah.

“Seramai 30 orang peserta terlibat secara langsung dalam penanaman nanas di tanah berkeluasan 60 ekar di Gugusan Ladang Lambor. Manakala 22 orang peserta lagi akan terbabit dalam penanaman sama di PATRO Sungai Galah dengan keluasan tanah sekitar 44 ekar.

“Setiap peserta akan diberikan tanah seluas 2 ekar untuk diusahakan secara contract farming dimana syarikat peneraju yang dilantik akan menyelia dan memberi tunjuk ajar berkaitan asas pertanian secara teknikal.

“Hasil pertanian ini akan dibeli semula oleh syarikat peneraju pada harga yang dipersetujui untuk memastikan pendapatan, jualan dan pasaran nanas oleh peserta terjamin”, katanya  selepas mengadakan lawatan ke Ladang Integrasi Nanas & Kenaf di Gugusan Ladang Lambor, baru-baru ini.

Selain daripada pihak peneraju, PPPNP juga akan bekerjasama dengan Agrobank khususnya daripada sudut pembiayaan kepada para peserta yang terpilih untuk projek ini.  

Mana-mana individu yang berminat menyertai projek ini boleh menghubungi Unit Usahawan PPPNP untuk maklumat lanjut.