IPOH – Port Ipoh melalui program PortSkool akan menganjurkan program seni kreatif selama dua hari di Pulau Pangkor pada Sabtu dan Ahad ini.

Penyelaras program, Nabil Faizat Abdul Razak ketika dihubungi Peraktastic hari berkata, program tersebut akan diadakan di dua lokasi iaitu Pangkor Village Beach Resort (hari pertama) dan Dewan Kampung Teluk Kecil (hari kedua).

Menurutnya, program hari pertama melibatkan bengkel ‘tie & dye’ oleh Aus yang akan mengajar cara-cara untuk membuat baju menggunakan teknik ikat dan celup kepada peserta dari pulau tersebut.

Selain itu, beliau berkata, Aizad Azman atau lebih dikenali sebagai Bob Sentuhan, kumpulan pemuzik jalanan atau busker terkenal daripada Kuala Lumpur akan memberi pendedahan kepada busker tempatan melalui pengalaman yang ditimbanya.

“Bob Sentuhan juga akan membuat penampilan istimewa di samping persembahan daripada buskers tempatan iaitu Ilusi Busker dan Suara Anak Laut,” katanya.

Pada hari berikutnya, sekitar 8 pagi, Trash Hero Ipoh akan mengadakan sesi mengutip sampah di sekitar pantai.

“Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dijangka akan hadir untuk bekerjasama dalam melaksanakan program berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, lukisan graffiti dan bengkel lukisan bersama kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun juga akan diadakan oleh dua penerima Dana Kreatif Perak @ Port pada hari tersebut.

“Adun Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dijangka akan hadir bagi menyampaikan bantuan berbentuk barangan keperluan kepada busker yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.

End