IPOH – Seramai 319 pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk 83 wanita berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Udara Siri 63/2020 di Akademi Tentera Udara, Ipoh di sini hari ini.

Majlis istiadat perbarisan yang diadakan secara statik tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Ia diadakan berbeza daripada kelaziman apabila hanya dihadiri para pegawai kanan TUDM sahaja sejajar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Perajurit Muda Udara (PjM U) Muhammad Fitri Mahadir telah diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Anugerah Akademik Terbaik pula telah disandang PjM U Muhammad Sollahuddin Aziz manakala Anugerah Penembak Terbaik milik PjM U Ammar Syafeq Mustafa.

Flait Charlie dianugerahkan sebagai Flait Terbaik Keseluruhan dengan menerima Piala Pusingan Komandan.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara diiringi Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Baharudin Abu Hassan.

Kesemua pelatih telah memulakan latihan pada 31 Oktober lalu yang berlangsung selama selama 24 minggu yang dibahagikan kepada tiga fasa sepertimana mengikut SOP yang ditetapkan.

Upacara tamat latihan bersejarah ini juga boleh disaksikan ahli keluarga pelatih menerusi siaran langsung yang telah dilaksanakan oleh TUDM melalui 'live streaming' di media sosial rasmi TUDM.

Sementara itu, Ackbal dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada para pelatih yang berjaya menamatkan latihan walau pun dalam keadaan berbeza.

Beliau turut mengingatkan generasi baharu TUDM itu agar mengutamakan disiplin, efektif dan efisien untuk menjadi perwira negara yang sentiasa bersedia dengan keperluan operasi yang telah ditetapkan oleh kepimpinan.

“Selama hampir 63 tahun latihan asas PjM U bermula, pihak pengurusan latihan telah banyak melakukan penambahbaikan demi mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi latihan agar ianya mampu melahirkan anggota TUDM yang cergas dan berdisiplin.

“Ianya selari dengan dua daripada lapan teras utama Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu Pembangunan Sumber Manusia dan Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM,” ujar beliau.

Turut hadir Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Mejar Jeneral Mohd Shahada Ismail.