IPOH- Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (PINCER) di Meru Raya bakal dihidupkan kembali bagi menggerakkan industri kreatif di bandaraya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ruzaimi Baharin @ Md Daud berkata usaha menghidupkan semula PINCER adalah selaras dengan kehendak semasa di era teknologi media selain memberi peluang kepada pengiat seni tanahair.

"Industri kreatif merangkumi pelbagai elemen seni yang seharus menjadi syarat utama bagi mewujudkan sebuah bandar yang maju sebagai 'city art'.

"Bangunan bernilai RM20 juta ini telah dilengkapi dengan pelbagai peralatan berteknologi tinggi seperti studio, reka bentuk industri, kemudahan pengajaran, teater mini, bilik darjah dan galeri.

"Kita akan berkerjasama dengan kerajaan negeri Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan syarikat- syarikat penerbitan media elektronik bagi merialisasikan perancangan ini", katanya selepas lawatan rasmi ke PINCER, Meru Raya, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perak, Industrial Resources Sdn Bhd (PIRSB) Abdul Rahim Bohari@Bahari  mewakili (PKNPk) dan Ketua Eksekutif Luncai Emas, Sham Ali Hussin.

Menurut Ruzaimi, PINCER yang dimiliki oleh PKNP dijangka memulakan operasi pada penghujung tahun ini namun bangunan itu harus melalui beberapa fasa baik pulih.

"Kita sedia maklum PINCER menyediakan perkhidmatan khusus dalam pengeluaran muzik, rakaman suara, rakaman multimedia dan perkhidmatan audio.

"Justeru itu peluang ini dapat dipergunakan sebaik mungkin yang bukan sahaja melahirkan seni kreatif malah ianya mampu menjana ekonomi individu dan negeri", katanya.