IPOH 12 MEI- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak amat terharu dan menjunjung kasih atas ucapan penghargaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak kepada anggota kesihatan dalam memerangi COVID-19 di Perak.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dato' Dr Ding Lay Ming berkata, penghargaan yang dilafazkan melalui titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14, memberikan semangat kepada anggota kesihatan JKN Perak untuk meneruskan aktiviti-aktiviti pencegahan, pengesanan kes, pengasingan kes dan rawatan kes COVID-19 di negeri Perak.

“Penghargaan ini sangat bermakna dan kami sebagai kakitangan JKN menjujung kasih dan merakamkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, hari ini iaitu Hari Jururawat SeDunia 12 Mei 2020. Jadi dengan ucapan itu kami sangat terharu.

“Kami amat bertuah bernaung di bawah permerintahan seorang Sultan yang amat prihatin kepada anggota kesihatan’, katanya.