IPOH - Hanya 12 orang jemaah sahaja dibenarkan melakukan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh negeri Perak setelah diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui yang melibatkan bilangan jemaah termasuk imam dan khatib serta bilangan tidak melebihi 12 orang sahaja. 

Kebenaran solat Jumaat adalah bermula esok sementara solat sunat Aidilfitri dibolehkan diadakan pada pagi 1 Syawal nanti.

"Adalah tidak digalakkan warga yang berusia lebih daripada 60 tahun untuk hadir berjemaah. Pengerusi Jawatankuasa Kariah haruslah memastikan jemaah adalah dikalangan ahli kariah dan pegawai masjid sahaja. 

“Para jemaah haruslah merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran dan seharusnya membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan sanitasi tangan dan sekiranya mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema mereka tidak dibenarkan hadir”, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Bakal jemaah yang mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut menetapkan kebenaran menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah dan takbir.

Menurutnya tempoh masa dihadkan tidak melebihi 20 minit iaitu bermula azan, khutbah hingga selesai solat Jumaat. Begitu juga tempoh yang sama bagi solat Aidilfitri termasuk bertakbir hingga selesai khutbah di masjid dan surau.

"Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri haruskanlah ringkas dan padat serta masa penyampaian tidak melebihi 10 minit disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). 

"Penyusunan saf dan kedudukan dalam masjid atau surau diri Jumaat hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan para jemaah hendaklah bersurai tanpa mengadakan sebarang jamuan makan minum terutama selepas selesai urusan solat sunat Aidilfitri," katanya.

Tambah beliau, masjid dan surau diri Jumaat masih tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya kebenaran itu hanya diberikan kepada ahli Jawatankuasa Kariah dan pegawai masjid dan surau.

Menurutnya, mana-mana masjid dan surau diri Jumaat yang tidak berupaya atau gagal memenuhi kesemua syarat dan panduan ditetapkan tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri berkenaan.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya.