IPOH- Lebih tujuh dekad Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) berdiri sebagai sebuah jabatan penyiaran terunggul di Malaysia sejak tahun 1946.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata selama 75 tahun RTM berkhidmat sebagai stesen penyiaran, sememangnya amat signifikan kepada perkembangan, kemajuan industri penyiaran dan industri kreatif negara.

“Meskipun sudah merentasi usia kematangan, RTM terus melangkah maju kehadapan bersama perkembangan terknologi media terkini dan tetap menjadi pilihan utama sebagai sumber informasi berita di negara ini.

“RTM telah menunjukkan krealibitinya sebagai mata dan telinga rakyat sekian lama terutama ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19. RTM adalah salah satu daripada saluran penyebaran maklumat sahih kerajaan serta berupaya memperbetulkan fakta-fakta palsu yang disiarkan di media sosial.

“Kita percaya RTM akan terus memandang ke hadapan bersama iltizam dan kepakaran yang ditimba daripada pengalaman lalu serta sentiasa menyahut cabaran sebagai jabatan penyiaran yang sentiasa membawa imej baik negara ke persada dunia," katanya yang berharap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan Jabatan Penyiaran Perak pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari RTM Ke-75 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan, di kompleks Bersepadu Sultan Nadzrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.

Bersempena dengan ulang tahun ini RTM turut melakar sejarah meraikan dua sambutan utama iaitu ulang tahun ke-75 penubuhan RTM dan ulang tahun ke-60 Orkestra RTM.

Dimaklumkan RTM mencipta empat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records iaitu sebagai Stesen Penyiaran Paling Lama di Malaysia, Forum Paling Terbanyak Disiarkan Secara Langsung Serentak Melalui TV dan Radio RTM, Siaran Langsung Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-75 Tahun Secara Serentak Melalui TV dan Radio RTM dan Orkestra Paling Lama.

Sementara itu, Pengarah RTM Negeri Perak, Noriza Salleh berkata warga PERAKfm juga turut meraikan ulangtahun RTM ke -75 bagi menghargai penubuhan stesen penyiaran pertama negara yang tetap teguh dan unggul.

“RTM kini mempunyai 34 stesen radio diseluruh negara termasuklah Radio Malaya Stesen Ipoh yang ditubuhkan pada 1956 kini dikenali sebagai PERAKfm. PERAKfm dahulunya terletak di sebuah tapak berhampiran lapangan terbang Ipoh dan kemudian berpindah ke Jalan Dairy, Ipoh.

“Pada 16 September 2012, stesen ini mula bersiaran di bangunan baharu dikenali sebagai Kompleks Sultan Nadzrin Muizzuddin Shah menggunakan sistem digital baharu dengan siaran radio yang lebih jelas dan berkualiti tinggi," katanya.

Sambutan itu dilancarkan serentak membabitkan 15 negeri termasuk PERAKfm. Pengisian program yang dijalankan antaranya Pelepasan Konvoi Cakna Komuniti PERAKfm, Pelancaran Setem 75 Tahun dan Pelancaran Mural PERAKfm.