GOPENG - Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak berjaya memainkan peranan meningkatkan sosio ekonomi komuniti setempat terutamanya kepada kumpulan usahawan yang aktif menerusi sektor agro makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata RTC Perak menyediakan perkhidmatan dan kegiatan ekonomi melalui tiga konsep utama iaitu perkhidmatan kerajaan dan swasta, hub perniagaan dan kemudahan fasiliti serta pusat kegiatan belia.

“RTC Perak juga merupakan pusat pengumpulan dan pengedaran bagi program food bank yang mendapat kerjasama dengan pihak luar yang mengusahakannya.

“Sebanyak lapan lot telah diperuntukkan di Blok A RTC Perak bagi menjayakan program food bank yang bertujuan untuk membantu kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Selain itu, ianya juga menjadi pusat pengedaran bagi syarikat tenusu seperti Farm Fresh. Nilai jualan yang berjaya dicatatkan adalah RM 600 ribu sebulan dengan melibatkan 100 orang usahawan produk tenusu”, katanya selepas lawatan kerja ke RTC Perak, di sini, semalam.

Selain itu, RTC Perak juga bertindak sebagai pusat pengumpulan, pengedaran dan pengeksportan nanas MD2 berjenama sendiri iaitu GOPINE (Gopeng Premium Pineapple). Jumlah pengeluarannya dianggarkan sejumlah 200 ribu kilogram bersamaan dengan RM500 ribu dan dipasarkan untuk pasaran tempatan dan eksport.

Menurut Ronald, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus diperkasakan untuk membantu usahawan-usahawan agromakanan khususnya penduduk luar bandar dalam memasarkan barangan dan produk-produk.

“RTC Perak telah memberi peluang kepada masyarakat setempat menceburi bidang keusahawanan yang bukan sahaja membantu mereka meningkatkan pendapatan malah menjamin kelangsungan barangan komoditi bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Terdahulu, Ronald turut melawat ke Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Tapah, bagi meninjau perkembangan projek naiktaraf prasarana dan bangunan di PPIT.