IPOH – Angsana Best of Busker yang diadakan pada hujung minggu lalu telah melabuhkan tirainya dengan Lowpro5 dinobatkan sebagai juara.

Lowpro5 yang ditubuhkan pada tahun 2019 dianggotai lima anak muda berbakat besar iaitu Muhammad Nor Azlizam Azrin atau Zam (Vokalis), 28, Mohammad Arsyad Shafeeq (Vokalis Kedua/Gitaris Kedua), 32, Nazwawi Suhaimie (Gitaris Utama), 27, Muhamad Basir (Pemain Bass), 24 dan Amarul Aslam (Cajun) 31.

Pada peringkat akhir yang diadakan semalam, mereka menyampaikan tiga buah lagu iaitu, Bukan Rayuan Gombal (Judika); Malam Biru (Sandy Sandhoro) dan Drama (Drama Band).

Ketika ditanya mengenai perasaan mereka berhubung kemenangan tersebut, Zam memberitahu mereka tidak menyangka kumpulan mereka terpilih untuk menjadi juara.

“Alhamdulillah kemenangan ini adalah rezeki daripada ALLAH SWT. Kami pun tak sangka kami dapat jadi juara sebab kumpulan-kumpulan lain sangat mantap dan sangat-sangat berbakat.

“Niat kami cuma untuk menghiburkan orang ramai dan Alhamdullilah semua terhibur dengan persembahan kami,” katanya kepada Peraktastic hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500, hamper dan kad sim tajaan Halo Telco.

Menurut Zam, kemenangan itu turut didorong oleh dua ahli asal kumpulan tersebut iaitu Mohd Adha (Pemain Bass Asal) dan Faqhrul Anuar (Gitaris Utama Asal).

“Mereka berdua antara yang menjadi tulang belakang kemenangan kami. Dorongan dan sokongan mereka antara sebab utama kami boleh memberikan persembahan yang terbaik pada program berkenaan,” jelasnya.

Selain Lowpro5, empat busker lain yang turut berentap pada peringkat akhir Angsana Best of Busker adalah 6sixsibben Band (tempat kedua); Kugiran Adik Kazim (tempat ketiga dan persembahan terbaik); Bye Bye Raincity (tempat keempat) dan Mustarim (tempat kelima).

Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai, hamper dan kad sim tajaan Halo Telco.

Hadiah disampaikan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat diringi Pengurus Angsana Ipoh Mall, Hanafiah Ab Hamid.

Angsana Best of Busker ini diadakan bersempena sambutan 25 tahun Jubli Perak pasar raya berkenaan bertujuan untuk memilih busker terbaik selain untuk menghidupkan semula seni kreatif penghibur jalanan (busker) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.