IPOH – Program Tuisyen Cikgu Saarani cetusan idea Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menyempurnakan inisiatif baharu apabila menyumbang telefon pintar berserta data secara percuma kepada murid-murid keluarga B40 terpilih di seluruh negeri Perak.

Buat permulaan sebanyak 20,000 telefon pintar bersama pelan data 10GB percuma disediakan manakala sebanyak 50,000 lagi kad sim bersama pelan data 40GB pula akan diagihkan bagi tempoh 60 hari kepada pelajar terpilih.

Inisiatif ini adalah sumbangan daripada Yayasan YTL dan usaha dari Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri bagi mengupayakan pendidikan murid keluarga berpendapatan rendah.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, menerusi inisiatif tersebut ia dapat memastikan pelajar keluarga kurang berkemampuan tidak keciciran dalam keperluan pembelajaran norma baharu.

“Walaupun sesi persekolahan secara bersemuka bermula namun keperluan pada gajet-gajat ini perlu diadakan agar murid-murid bersedia untuk mengikuti pembelajaran atas talian selain mengakses bahan-bahan pelajaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar melalui Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato’ Ahmad Hambal di Bota baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Ahmad Saidi Mohd Daud.

Sementara itu kata  Ahmad Saidi, inisiatif tersebut secara tidak langsung memberi manfaat kepada 70,000 murid.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan dalam sistem pendidikan.