LENGGONG – Lebih 5.8 juta pokok yang merangkumi kira-kira 515 spesies telah ditanam di seluruh negara sepanjang Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak lebih daripada 100,000 pokok pelbagai spesies telah ditanam di Perak.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kempen ini juga bertujuan untuk memupuk semangat cintakan alam semulajadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, mengambil contoh keprihatian Tenaga Nasional Berhad (TNB) misalnya telah bergiat aktif untuk program penanaman pokok sejak 2009 dan sehingga kini sebanyak lebih 60 ribu pokok telah ditanam oleh TNB di seluruh negara.

“Di Perak sahaja, sebanyak lebih 17 ribu pokok bakau telah ditanam di daerah Manjung sejak 2013 dan dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Semua program penanaman pokok ini adalah hasil kerjasama yang erat di antara TNB, kerajaan dan NGO tempatan. Saya berharap usaha murni ini akan dikekalkan dan dipergiatkan lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Penghijauan Malaysia : Tasik Raban Lenggong sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat negeri Perak di Dataran Tasik Raban, Lenggong semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang.

Dalam ucapannya, Shamsul Anuar turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Perak atas inisiatif Program Bumi Hijau dan Perak Oxygen Land Bank (POLB) yang telah dilaksanakan.

Katanya, inisiatif ini merupakan program penanaman pokok dan pokok angkat yang ditawarkan kepada badan korporat, syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan individu yang berminat melalui pendekatan tanggungjawab sosial korporat.

Sementara itu, kata Shamsul Anuar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga akan memperkasakan sektor ekopelancongan sumber asli negara bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan komuniti setempat yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19.

 “Pemerkasaan destinasi-destinasi ekopelancongan di bawah seliaan KeTSA seperti Taman Negara, Taman Ekorimba, Hutan Taman Negeri dan Tapak Geopark akan turut memberi perhatian dan penekanan kepada meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat,” ujarnya.