LENGGONG – Keterujaan penduduk di empat buah kampung di Gerik dan Lenggong bagi menyambut ketibaan tahun ini tambah bermakna apabila kerja-kerja menyenggara dan membaiki kemudahan masjid serta surau yang dilakukan oleh pihak tentera siap sepenuhnya.

Kolaborasi antara Tentera Darat bersama kerajaan negeri Perak itu adalah tanda prihatin bagi keselesaan penduduk setempat untuk beribadat dan mengimarahkan sambutan sepanjang bulan mulia itu nanti.

Selain itu, ia juga menjimatkan kerana kos keseluruhan projek berjumlah RM218,000 ini dibiayai oleh kerajaan negeri dengan kerja-kerja bermula 8 Februari lalu dan siap pada 14 Mac.

Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib berkata, pelaksanaan projek jiwa murni itu dilaksanakan di Masjid Jamek Kampung Tanjung Kala dan Masjid Kampung Tanjung Rambai di Gerik serta Surau Pekan Lenggong dan Surau Kampung Lata Papan, Kuak.

Menurutnya, projek kendalian 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) diketuai Mejar Muhammad Hasrul Yusof itu dibantu pasukan bawah naungan briged tersebut melibatkan dua pegawai dan 67 anggota.

“Pelaksanaan projek jiwa murni ini adalah merealisasikan Tonggak ke-5 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu peningkatan hubungan tentera dengan masyarakat.

“Dengan perancangan rapi kita dapat menyudahkan kerja-kerja ini di empat lokasi berbeza mengikut masa yang ditetapkan dengan projek yang terakhir siap adalah di Masjid Kampung Tanjung Rambai, Gerik iaitu pada 14 Mac lalu,” ujarnya.

Terdahulu, majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Negeri Perak itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad di Surau Kampung Lata Papan, Kuak semalam yang turut dihadiri Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

Sementara itu, Saarani berkata, Projek Jiwa Murni Negeri Perak itu menyaksikan penjimatan lebih 50 peratus daripada kos sebenar yang perlu ditanggung kerajaan negeri.

 

Katanya, pelaksanaan empat projek secara usaha sama dengan pihak 2 Briged itu hanya menggunakan peruntukan minimum bagi penyediaan bahan binaan seperti simen, pasir dan batu bata sementara tenaga kerja sepenuhnya daripada anggota tentera.