IPOH – Jangan kerana teh tarik segelas, rokok sebatang, dan roti canai sekeping, anda dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara akibat makan atau minum di khalayak ramai sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, setiap tahun pada bulan Ramadan pasti ada isu geng plastik hitam melibatkan mereka yang tidak berpuasa atau menjamu selera di khalayak ramai.

Katanya, mereka yang ditangkap akibat tidak berpuasa ini kebanyakkannya terdiri daripada golongan orang berumur dengan memberikan pelbagai alasan seperti lapar dan ketagih untuk merokok.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam supaya menjaga maruah diri dan agama bagi mengelakkan pandangan serong masyarakat yang bukan beragama Islam terhadap mereka yang beragama Islam.

“Jika uzur boleh berbuka, tetapi bukan di khalayak ramai kerana kita tidak mahu maruah dan imej agama Islam tercemar,” katanya.

Menurutnya, isu geng plastik hitam ini bukan perkara baru malah sering terjadi setiap kali bulan Ramadan.

“Kita lihat ada pengusaha restoran yang menyediakan ruangan tertentu di sebalik tabir untuk orang yang tidak berpuasa.

“Jadi, kita minta pengusaha restoran (beragama Islam) ini supaya tidak bersubahat sebaliknya berdakwah dan menjalankan tanggungjawab sebaiknya dengan tidak menjual makanan kepada mereka,” jelasnya.

Katanya, lebih 100 penguatkuasa akan menjalankan pemantauan dan rondaan di restoran atau gerai makanan yang menjadi kawasan panas (hot spot) di seluruh negeri Perak.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga orang awam yang prihatin dalam memberikan maklumat dan lokasi yang sering dikunjungi golongan ponteng puasa ini.

“Di Ipoh, terdapat tiga ke empat hot spot kebanyakkannya kedai yang sama yang selalunya menjalankan aktiviti menjual makanan kepada orang tidak berpuasa,” ujarnya.

Menyentuh isu sama ada terdapat golongan ponteng puasa yang makan dan minum di tanah perkuburan, Mohd Yusop berkata, setakat ini pihaknya masih belum menemui mereka melakukan aktiviti tersebut di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, kita masih belum jumpa kes sedemikian, tetapi boleh berlaku, kerana ia di tempat tersembunyi, orang tak nampak.

“Bagaimanapun, jika orang di sekeliling tidak nampak, tetapi Tuhan nampak perlakuan itu, maka bertaubatlah sebelum terlambat,” pesannya.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis penyampaian sumbangan kelengkapan sekolah kepada 100 murid, di Dewan Persatuan India Kinta Ipoh di sini, hari ini.