IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan pembukaan tapak bazar Ramadan di kawasan masjid dengan syarat jawatankuasa masjid mengadakan perbincangan secara terperinci bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung perkara berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya menggalakkan penganjuran bazar Ramadan itu secara tidak langsung dapat membantu menjana sumber ekonomi masjid.

“Pembukaan bazar Ramadan ini memberi peluang kepada ahli kariah yang hendak berniaga dan boleh menggunakan premis yang sedia ada di sekitar kawasan masjid tersebut.

“Kita akui bahawa sebelum ini sepanjang Ramadan wujudnya bazar Ramadan di sekitar tempat yang menjadi tumpuan orang ramai, namun dengan adanya bazar ini di kariah masing-masing, ia membantu mengurangkan kesesakan,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis penyampaian sumbangan kelengkapan sekolah kepada 100 murid, di Dewan Persatuan India Kinta Ipoh di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya pihak masjid menasihati peniaga untuk mematuhi syarat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan agar isu kawasan masjid menjadi kotor dengan sampah sarap tidak timbul.

“Saya rasa bazar Ramadan di luar masjid juga mungkin timbul isu kotor dan sampah sarap, jadi perkara (bazar di kawasan masjid) ini pihak masjid boleh menasihati peniaga untuk mengikuti syarat untuk menjaga kebersihan," katanya.

“Jadi masjid-masjid boleh buat bazar ramadan di kawasan masjid masing-masing tetapi dengan mematuhi syarat iaitu mendapat khidmat nasihat dan panduan daripada PBT bagi menentukan faktor kebersihan dan sebagainya,” jelasnya.

Menurutnya, selain bazar Ramadan, pihak masjid boleh memperluaskan aktiviti ekonomi dengan membuka kedai runcit dan pasar mini bagi meningkatkan sumber ekonomi terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Sebenarnya selain mengadakan bazar, masjid boleh mempelbagaikan aktiviti lain untuk mencari sumber pendapatan selain daripada sedekah setiap minggu untuk membiayai program masjid,” ujarnya.