TAIPING – Kerajaan negeri Perak serius untuk mungurangkan longgokan plastik yang menjejaskan alam sekitar dengan menggalakkan penggunaan beg pembungkus mesra alam (biodegradasi) bagi kegunaan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, inisiatif itu adalah pendekatan baharu bagi mengurangkan penggunaan plastik sedia ada.

Bagaimanapun katanya, sikap masyarakat yang tidak peka terhadap keburukan penggunaan plastik konvensional juga menjadi punca lambakan bahan susah lerai itu.

"Kita akan giatkan dahulu kempen kesedaran menggunakan produk biodegradasi dan berbakti kepada alam sekitar untuk menuju ke arah tersebut.

"Plastik konvensional bercampur bersama sisa sampah yang lain menyebabkan tindakan kimia berlaku seterusnya berlaku pencemaran seperti tanah, kebakaran dan ancaman hidupan akuatik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pengagihan Produk Biodegradasi Taiping di Pasar Pagi Kamunting baru-baru ini.

Jelasnya beg sampah mesra alam itu dihasilkan daripada tumbuhan seperti ubi gajah, serai wangi, jagung dan sebagainya.

“Ia boleh mereput dalam tempoh antara lapan bulan hingga dua tahun. Berbeza dengan plastik konvensional yang memakan masa ratusan tahun.

“Tindakan dan perancangan sewajarnya akan diambil bersama pemain industri plastik konvensional di Perak agar usaha itu tidak menjejaskan industri mereka,” ujarnya.