IPOH-  Menyahut cabaran di era Revolusi Perindustrian 4.0, Politeknik Ungku Omar (PUO) mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu kebolehpasaran graduan dan komuniti seiring dengan kehendak semasa industri.  

Pengarah PUO, Ts. Mohd Fisal Haroon berkata setiap graduan perlu menghadapi gelombang transformasi sejajar keperluan industri 4.0 yang menitikberatkan penguasaan eleman 4C iaitu pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi dan kreatif.

“Bagi menyediakan graduan yang holistik dan memenuhi keperluan industri, hari ini, PUO melalui pusat korporat, Hubungan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) bakal menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik (COC) dengan 26 buah industri, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kolaborasi ini bertujuan meningkatkan kolaborasi strategik, politeknik dengan rakan industri, agensi kerajaan dan NGO berkaitan teknologi merangkumi bidang kurikulum, latihan, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dan kebajikan masyarakat.  

Selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, ia sekali gus mendedahkan kepada pelajar peluang kerjaya dalam industri dan sektor awam selepas tamat pengajian,” katanya selepas Majlis Menandatangani COC Sempena Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri (IAC) dan Mesyuarat IAC PUO, di sini baru-baru ini.

Hadir sama Toh Indera Jaya, Datuk Ishak Mohamed dan Pengerusi Institut Latihan Maritim Maritime Education & Training Academy, Tan Sri Sufri Mohd Zin.

Sementara itu, Mohd Fisal melantik 11 rakan industri sebagai Penasihat Industri dan menyerahkan Watikah Pelantikan Jawatankuasa IAC 2021-2022 PUO.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada rakan industri yang sebelum ini telah bersama sebagai Jawatankuasa Penasihat PUO untuk tahun 2018- 2020.

“Pelantikan IAC ini membuka ruang perkongsian kepakaran serta menyediakan khidmat perundingan pakar kepada pensyarah dan pelajar,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Mohd Fisal turut  melancarkan aplikasi PUO Sejahtera dan Buku Garis Panduan Pelan Pencegahan Covid-19 Politenik Ungku Omar.

Antara rakan industri yang terlibat dalam kolaborasi ini ialah Jabatan Kerja Raya Perak, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Persatuan Pencinta Teknologi Hijau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, KNZ Engineering Sdn Bhd, MyInvent Technologies Sdn Bhd, Zenig Auto Sdn Bhd, WSA Venture Australia (M) Sdn Bhd, Pertubuhan Kelana Seni dan Warisan Negeri Perak, ASK-Pentest, COMPTIA, Roboshop Technologies, JV Empire Holding Sdn Bhd, Zhaft Autohaus Sdn Bhd, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), CMA Ships Singapore, Maritime Education & Training Academy (META), CLCE Construction Sdn Bhd, Binawira Engineering Sdn Bhd, Kumpulan Jebco (M) Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Rasma Corporation Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), WSA Engineering Sdn Bhd dan Cytron Technologies Sdn Bhd.

Syarikat yang telah dilantik sebagai IAC ialah Trans Resources Corporation Sdn Bhd, Weldmart, Micro Precision Engineering Sdn Bhd, MNZ Waja, Majlis Sukan Negeri Perak, Perak Entrepreneur & Skills Development Centre, PCOM, KNZ Engineering Sdn Bhd dan Federation of Malaysia Manufacturers (FMM) Cawangan Perak.