IPOH – Markas 69 Komando Pasukan Gerak Khas, Kem Ulu Kinta melancarkan buku khas menceritakan Pertempuran Lahad Datu, Sabah yang melibatkan pasukan 69 Komando berjudul, 69 Komando : Lahad Datu 2013.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.

Hadir sama Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Yusoff dan Kerua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Menurut Abd Rahim, penerbitan buku tersebut sangat penting kerana 69 Komando adalah pasukan yang terlibat secara langsung dalam peristiwa berdarah tersebut.

Katanya, ia juga bagi dijadikan rujukan pada masyarakat tentang peristiwa itu dan pada masa sama dapat mengenali peranan pasukan 69 Komando.

“Buku ini telah berjaya memberi gambaran terperinci yang belum pernah ditulis atau didedahkan oleh mana-mana pihak yang terlibat.

“Penerbitan buku ini juga adalah langkah bijak bagi mengelak putar belit oleh mana-mana pihak. Peristiwa Lahad Datu banyak memberi iktibar. Saya berharap 69 Komando akan terus berkembang sejajar dengan dengan pembangunan semasa,” ujarnya.

Pencerobohan dan serangan di Lahad Datu enam tahun lalu memahat sejarah hitam dalam 69 Komando apabila dua anggotanya, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terkorban.

Buku setebal kira-kira 170 mukasurat dengan lebih 200 gambar berwarna serta gambarajah dan peta itu memberi gambaran terperinci bagaimana peristiwa tersebut berlaku termasuk rentetan cemas pertempuran melibatkan 69 Komando di Kampung Simunul, Semporna.

Ia ditulis oleh bekas ketua pengarang majalah pertahanan Tempur, Muhammad Fuad Mat Noor dengan kerjasama Markas 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Kem Ulu Kinta.