IPOH - Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, projek ladang solar keempat yang akan dibangunkan di Bidor tahun hadapan di atas tanah bekas lombong yang telah ditinggalkan tidak akan menjejaskan penempatan Orang Asli di samping membangunkan kawasan yang tidak bernilai.

Beliau berkata, projek pembangunan itu berbeza dengan projek hidro yang kebanyakkan melibatkan sungai yang berada dalam hutan belantara sekali gus melibatkan penempatan Orang Asli.

“Bagi projek ladang solar atau ‘solar farm’ ini, kawasan-kawasan pembinaan tidak melibatkan Orang Asli.

“Kita menggunakan bekas lombong yang ditinggalkan. Jadi, kita tidak berhadapan dengan masalah sebegini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian inisiatif Projek Solar Farm negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan semalam.

Perjanjian dimeterai antara Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Urusan Ganding Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana), Datuk (Dr) Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Gading Kencana merupakan syarikat tenaga solar terkemuka negara dan merupakan pendahulu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui ini.

Mengulas lanjut kata Saarani, pembangunan projek tersebut melibatkan teknologi hijau dan penggunaan kawasan-kawasan bekas lombong itu akan dapat membantu meningkatkan semula nilai pada tanah tersebut.

Sementara itu, Muhamad Guntor berkata, projek solar keempat itu bakal membuka kira-kira 800 peluang pekerjaan melibatkan keluasan sebanyak 106 ekar.

“Kita boleh mengisi sebanyak 40 megawatt (MW) kapasiti solar. Jadi 40 MW untuk menyiapkan pemasangan kita perlukan 800 orang pekerja, dalam masa-masa tertentu,” katanya.

Gading Kencana ketika ini memiliki sebuah ladang solar di Kampung Batu Empat, Bidor bernilai RM214 juta telah disiapkan, manakala projek hidro di Sungai Gedung bernilai RM40 juta dan ladang ketiga di Bidor bernilai RM110 juta masih dalam pelaksanaan.

Turut bakal dimajukan ialah elaburan keempat di kawasan Kuala Bikam bernilai RM150 juta akan bermula pada tahun hadapan.

Ladang solar juga berpotensi untuk menyediakan tenaga bersih untuk menyokong aktiviti perindustrian dan pertanian, dan membawa manfaat ekonomi yang meluas kepada masyarakat.