IPOH – Kes indeks jenayah di negeri Perak sepanjang tahun ini sejak Januari lalu menunjukkan penurunan sebanyak 227 kes atau 19.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu sekali gus menunjukkan kesungguhan pihak polis dalam mengekang kes-kes jenayah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam tempoh tersebut indeks jenayah harta benda menurun iaitu sebanyak 210 kes begitu juga kes jenayah kekerasan yang menurun 17 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pada masa sama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak pula berjaya menumpaskan Geng Nantha Kumar dengan penahanan tujuh ahlinya dalam Op Fulica pada 9 April lalu dan kesemua suspek telah pun didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan atas kejayaan tersebut. Dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah, PDRM Perak masih lagi memfokuskan terhadap jenayah jalanan agar keselamatan masyarakat di negeri ini berada dalam keadaan aman dan terkawal.

“Dalam tempoh Januari hingga April, JSJ Narkotik Perak pula berjaya menangkap 3,346 atas pelbagai kesalahan dadah iaitu bertambah seramai 331 berbanding tempoh sebelumnya.

“Kita juga telah menahan 751 pengedar iaitu bertambah 100 orang atau 15 peratus dengan jumlah rampasan kira-kira RM2,245,249.03 manakala nilai sitaan pula RM5,298,879.99,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Dalam pada itu kata beliau, kesedaran masyarakat terhadap kes-kes penipuan urusan jual beli meningkat apabila kes dilaporkan menurun iaitu hanya 29 peratus atau 1,179 kes.

Daripada jumlah itu 702 kertas siasatan telah berjaya diselesaikan iaitu meningkat sebanyak 34 kes.

“Bagi kesalahan trafik pula, polis telah melakukan 94 operasi jalan raya dengan kejayaan menahan lapan pesalah serta mengeluarkan 35 saman terhadap 17kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.