IPOH – Bomba masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian kebakaran yang berlaku di salah sebuah premis tingkat 1 Pasar Raya Mydin Bandar Meru Raya di sini yang menyebabkan berlaku kegemparan kepada para pelanggan dan pekerja di pasaraya tersebut.

Dalam kejadian pada jam 2.09 petang Jumaat itu, dua remaja lelaki mengalami sesak nafas akibat terhidu asap selepas kedai menyimpan pakaian di tingkat satu terbakar.

Mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun itu dikatakan terperangkap di dalam premis tersebut tetapi berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

Pada masa sama, kepantasan pihak kawalan pasaraya serta petugas-petugas mengarahkan para pelanggan dan pekerja lain mengosongkan premis dalam keadaan teratur dipuji selain tidak menimbulkan suasana panik.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak pasaraya.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan hose reel yang ada di bangunan tersebut dengan dibantu sistem water sprinkler.

“Kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam tempoh 20 minit dan anggaran kebakaran adalah lebih 50 peratus. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran,” ujarnya.

Operasi pemadaman turut dibantu anggota BBP Ipoh dan Sungai Siput.

Sementara itu seorang pelanggan, Junaidi Mohamad Hashim memberitahu, semasa kejadian dia sedang membayar di kaunter sebelum terdengar jeritan seperti berlaku kekecohan lalu bergegas keluar sebaik selesai urusan.

Katanya, dia terkejut apabila melihat ruang lobi pasaraya itu dipenuhi asap dan pada masa sama pekerja-pekerja kedai berhampiran tergesa-gesa keluar.

“Pelanggan lain memberitahu ada berlaku kebakaran dan mengarahkan semua keluar menyelamatkan diri. Mujur pengawal keselamatan dapat mengawal keadaan dengan baik dan orang ramai tidak berebut-rebut keluar,” ujarnya.

Pekerja kedai pakaian, Nur Arifah Mohd. Din pula berkata, mulanya dia menyangka pihak pasaraya melakukan latihan kebakaran apabila terdengar bunyi deringan loceng kecemasan tidak henti-henti.

“Sebaliknya saya terkejut apabila melihat kepulan asap dari tingkat satu sebalik berada di luar pasaraya. Mujurlah pihak bomba cepat sampai dan dapat mengawal kebakaran,” katanya.