IPOH – Kelab Belia Abrar memasang 15 bendera Palestin di sekitar bangunan Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, di sini, sebagai tanda solidariti mereka terhadap rakyat di negara tersebut.

Pengerusinya, Muhammad Syukri Alimar Shidi berkata, pemasangan bendera ini adalah cara terbaik bagi menunjukkan solidariti secara lapangan dan fizikal kerana masih ada orang ramai yang tidak tahu akan isu yang berlaku di Palestin.

“Kami memikirkan pelbagai kaedah paling sesuai untuk menyemarakkan lagi sokongan kepada sahabat-sahabat di Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

“Jadi, kami mengambil langkah untuk bersolidariti secara fizikal dan di lapangan dengan mengangkat bendera Palestin supaya orang ramai yang masih kurang serius atau tidak cakna akan sedar betapa seriusnya isu berkenaan.

“Alhamdulillah Ahli Jawatankuasa masjid bersetuju dan menyokong usaha kami,” katanya dalam satu kenyataan kepada Peraktastic, di sini, hari ini.

Menurutnya, kelab tersebut mengambil masa kurang sehari untuk mengumpul dana bagi menjayakan projek pemasangan bendera ini.

“Tidak sampai sehari, kami berjaya mengumpul RM400 dan sebahagian besar wang tersebut digunakan untuk membeli bendera manakala selebihnya diinfaqkan kepada umum.

“Selepas bendera ini dipasang, Alhamdullilah kami mendapat respon positif daripada jemaah Sungai Rokam, kelab belia dan tidak kurang juga orang ramai yang turut memberi sokongan di atas usaha kami ini,” jelasnya.

Muhammad Syukri berkata, seramai 10 ahli Kelab Belia Abrar berkerjasama memasang bendera tersebut di sekitar kawasan masjid berkenaan.